PETALING JAYA – Mengaku silap sendiri, penyanyi rap popular MK K-Clique memohon maaf secara terbuka susulan dia dan isteri, Siti Hajaar tidak memakai tali pinggang keledar (seatbelt) ketika memandu dalam sebuah video tular baru-baru ini.
Menerusi video tersebut, MK atau nama penuhnya Muhammad Hairi Amin Hamdan. 27, mengaku mengabaikan keselamatan jalan raya secara tidak sengaja.
“Video ini bukan untuk menarik perhatian tetapi ingin meminta maaf dan berterima kasih.
“Pertama sekali, saya minta maaf kerana telah memberi contoh yang tidak baik dan tidak bertanggungjawab selepas memuat naik video dua hari lalu iaitu memaparkan saya mengusik isteri ketika memandu tetapi kami tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya.
Selain permohonan maaf, MK turut menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi teguran kepadanya memgenai kesalahan dilakukannya.
“Terima kasih kepada yang menegur, saya tiada alasan sebab memang salah sendiri.
“Saya juga harap video ini kenjadi pengajaran dan kesedaran untuk saya menyedari kesilapan sendiri iaitu tidak lalai tentang keselamatan diri.
“Selain itu, saya juga berharap kita semua akan lebih peka sebelum memuat naik sebarang kandungan dalam akaun media sosial tanpa melukakan atau memberi contoh tidak baik.
Dalam pada itu, dia yang terkenal menerusi lagu Mimpi itu berharap agar tindakannya mengabaikan pemakaian tali pinggang keledar tidak menjadi ikutan ramai kelak.
“Harap semua pihak tidak mengulangi kesilapan saya selain lebih berhati-hati menjaga keselamatan diri sendiri dan orang tersayang,” ujarnya lagi.
Kelmarin, tular sebuah video yang dimuat naik MK dalam Instagramnya memaparkan isterinya tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu.
Bukan hanya Siti Hajaar, MK yang duduk di bahagian penumpang juga tidak melakukan hal sama.
Perkara itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai dan berpendapat MK memberi contoh negatif terhadap peminatnya.
Terdahulu, MK dan Siti Hajaar selamat mendirikan rumah tangga di Masjid Jami’il Huda, Kampung Melayu Ampang, Ampang pada 15 Jun lalu.- KOSMO! ONLINE