fbpx

Tukang masak didakwa rogol, amang seksual pelajar tingkatan tiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULHAZREEN dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas tujuh pertuduhan membabitkan kes rogol, amang seksual serta seks luar tabii terhadap pelajar tingkatan tiga, antara Mei dan Jun tahun ini.

MUAR – Seorang tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk merogol, meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar tingkatan tiga antara Mei hingga Jun tahun ini.

Tertuduh, Zulhazreen Shah Zulkufli, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat sejurus kesemua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah.

Zulhazreen yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran makanan segera berdepan tiga pertuduhan merogol dan tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 15 tahun.

Dia turut berdepan satu pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di dalam sebuah kebun kelapa sawit kira-kira pukul 1 pagi antara Mei hingga Jun lalu.

Pertuduhan rogol dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Kesalahan amang seksual pula dituduh mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, jika disabitkan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Danial memberitahu mahkamah kesalahan tersebut tidak boleh jamin, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin, pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000.

Tertuduh dalam rayuan meminta mahkamah agar merendahkan ikat jamin dan akan mendapatkan khidmat peguam bagi prosiding seterusnya.

Hakim Abu Bakar kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa keluarganya sehingga kes selesai selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.

Sebutan kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 26 September depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI