PETALING JAYA – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, menyangkal dakwaan bahawa beliau telah berkempen di sebuah masjid di Kuang, dekat sini semalam.
Sebaliknya kata Fahmi, dia hanya singgah untuk solat zuhur sahaja di masjid itu kerana ia paling dekat dengan lokasi program seterusnya.
“Alang-alang di situ, saya dijemput oleh kariah masjid untuk ulas sedikit isu Kumpulan 1975. Tiada langsung sentuh isu lain. Jemaah dalam masjid boleh jadi saksi kejadian untuk sahkan,” katanya di Facebook.
Malah, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menambah, ada saksi di tempat kejadian yang boleh mengesahkan bahawa perkara itu hanya fitnah yang sengaja dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya ucap terima kasih pada Syafiq Naqman (saksi kejadian) yang muat naik video penerangan yang diberikan oleh saya untuk membidas fitnah tersebut.
“Namun malangnya, admin ‘page’ tersebut telah padam video yang dimaksudkan dengan niat untuk teruskan persepsi jahat dan fitnah terhadap saya. Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita dari fitnah dan para pemfitnah ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE