PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang melibatkan empat negeri di Semenanjung sehingga pukul 10 pagi, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya di Facebook berkata, cuaca buruk itu dijangka melanda seluruh negeri Pulau Pinang dan beberapa daerah sekitar Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak).
Sementara itu, di Kedah melibatkan Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
“Di Kelantan pula, hujan lebat serta ribut petir lebih tertumpu di daerah Gua Musang,” katanya hari ini.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter perjam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE