fbpx

Pelancaran hartanah Ehsan Property fokus isu peningkatan kos sara hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lakaran artis bagi projek Mutiara Austin Residence, yang dijangka siap pada akhir tahun 2026.

JOHOR BAHRU – Dalam usaha membina reputasi untuk konsep visual dan penawaran aset premium, Ehsan Property menyokong pelaburan dalam seni bina inovatif yang memberikan harga lebih rendah tanpa menjejaskan kualiti.

Memanfatkan sepenuhnya kelebihan ini, syarikat mengumumkan pembangunan kediaman baharu, Mutiara Austin Residence di Mount Austin, Johor Bahru oleh Lintang Hebat Sdn. Bhd. baru-baru ini.

Menurut Pengasasnya, Datuk Abdul Hamid Abdu, Mutiara Austin Residence mempunyai beberapa kualiti yang membezakan dengan penawaran lain serta memiliki nilai jualan istimewa.

Antaranya kedudukan projek yang berhampiran dengan pembangunan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) yang sedang dirancang oleh kerajaan Malaysia.

“Terdapat permintaan tinggi untuk hartanah baharu di kawasan ini, dengan kemudahan infrastruktur di kawasan sekitar dan projek KL-SG HSR yang akan datang.

“Pasaran hartanah juga kini lebih kukuh sekarang berbanding dua tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Mount Austin adalah kawasan yang sedang pesat membangun dengan pelbagai kemudahan berdekatan termasuk pusat beli-belah Ikea, Lotus dan Toppen, selain hospital, kolej serta universiti.

“Kami memilih Mount Austin sebagai lokasi untuk projek kami kerana banyak kemudahan di sekelilingnya dan berdekatan dengan pusat bandar raya Johor Bahru.

Dari kiri, Pemegang Saham IPG, Jonathan Loh Bing Cong; Pengarah Urusan Gplex Realty, Jimmy Chao Miew San; Ketua Wilayah Selatan, MCentury Properties, Datuk Katherine Ho; Abdul Hamid; Pengurus Besar Ehsan Group of Companies, Abdul Gafur Suleiman; Pengasas First Global Realty Sdn. Bhd., Sophia Chong; Pengurus Projek Kanan First Global Realty, Hoo Chang Kang dan Renzo Realty, Datuk Ivan Cheng di Majlis Pelancaran unit pameran Mutiara Austin Residence di Mount Austin, Johor Bahru baru-baru ini.

“Selain itu, Mount Austin terkenal dengan penawaran produk mewah yang menambah nilai demografi serta meningkatkan reputasi kawasan tersebut.

“Kami telah membuat kajian kes di kawasan itu dan kami faham bahawa terdapat permintaan yang kukuh untuk rumah mampu milik, jadi kami memutuskan untuk memulakan projek kami di sini.

“Ini juga adalah selaras dengan visi Ehsan Property iaitu ‘We Build For Your Needs’,” sambungnya.

Nama Mutiara Austin Residence diilhamkan daripada imej mutiara di lautan luas, yang terkenal dengan kecantikan dan signifikasinya sejak dahulu.

Mutiara Austin Residence merangkumi tiga blok apartmen berservis sebanyak 650 unit dan merupakan projek pembangunan pangsapuri terbaharu oleh Lintang Hebat Sdn. Bhd.

Terletak dalam lingkungan Mount Austin, jarak pemanduan dari lokasi projek ke AEON Tebrau dan Ikea Tebrau hanya mengambil masa lima minit.

Demografi sasaran untuk Mutiara Austin Residence adalah pasangan baru berkahwin, golongan profesional muda dan pembeli rumah pertama.

Abdul Hamid menambah, unit Jenis A dan unit Jenis B merupakan dua jenis unit yang menarik minat ramai pembeli, yang mana Jenis A merupakan unit dengan bilik 2+1 dan dua bilik dengan keluasan binaan 743 kaki persegi.

Sementara unit Jenis B pula merupakan unit dengan tiga bilik dan dua bilik mandi dengan keluasan binaan 862 kaki persegi.

“Kami menawarkan lebih banyak unit jenis ini memandangkan ia tidak terlalu besar dan mampu milik untuk keluarga kecil dan pembeli rumah kali pertama.

“Diskaun menarik turut ditawarkan kepada pembeli lot Bumiputera, dan sebahagian daripada unit ini disediakan dengan perabot separa lengkap,” tambahnya.

Abdul Hamid optimis semua unit Mutiara Austin Residence akan habis dijual menjelang hujung tahun ini berdasarkan sambutan yang diterima.

Mutiara Austin Residence dijangka siap pada akhir tahun 2026 dengan Fasa 1 projek berkenaan telah mencecah kadar pengambilan 88 peratus, manakala Fasa 2 dijangka akan dilancarkan pada Oktober ini.

“Secara keseluruhannya, kami menyasarkan kesemua unit kami habis terjual menjelang akhir 2023,” katanya.

Menurut beliau, syarikat berhasrat untuk membina lebih banyak unit rumah mampu milik serta projek perumahan berkualiti tinggi pada masa hadapan dalam usaha untuk berkembang ke seluruh negara.

“Projek-projek yang kami ingin mulakan dalam tempoh lima tahun akan datang dijangka mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sekitar RM2 bilion termasuk di wilayah utara dan selatan.

“Kami akan meluaskan projek syarikat ke bandar-bandar lain di seluruh negara pada masa hadapan,” ujarnya.

Pada masa kini, Ehsan Property memiliki anggaran 3,442 unit projek perumahan yang akan dibangunkan di beberapa kawasan di Malaysia, dengan Nilai Pembangunan Kasar bernilai RM1.307 bilion. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI