HONG KONG – Seorang pelagak ngeri terbunuh selepas jatuh dari tingkat paling atas sebuah bangunan setinggi 219 meter di Hong Kong ketika melakukan aksi berani mati itu, lapor portal berita MailOnline semalam.
Rakyat Perancis bernama Remi Lucidi, 30, itu dikenali kerana kebolehannya memanjat menara pencakar langit di seluruh dunia, sama ada bangunan atau struktur seperti kren dan jambatan.
Dalam insiden pada Khamis lalu, Lucidi dikatakan naik sehingga ke tingkat 68 Menara Tregunter yang merupakan sebuah blok kediaman di kawasan Mid-Levels, Hong Kong sebelum dia terjatuh.
Seorang pembantu rumah sebuah unit kediaman dikatakan melihat Lucidi mengetuk tingkap penthouse untuk masuk semula ke dalam bangunan, namun terjatuh sebelum bantuan sempat tiba.
Menurut laporan, Lucidi tiba di menara tersebut pada pukul 7.30 malam (waktu tempatan) dan memberitahu pengawal keselamatan bahawa dia mahu melawat seorang kenalan yang tinggal di aras 40.
Penduduk yang namanya disebut oleh Lucidi bagaimanapun menafikan dia mengenali mangsa dan berkata, lelaki itu menggunakan namanya untuk membolehkan dia naik ke tingkat atas.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bangunan itu menunjukkan Lucidi keluar dari lif di tingkat 49 sebelum menggunakan tangga untuk naik ke aras 68.
Dia juga membuka pintu aras bumbung yang berkunci, yang menunjukkan lelaki itu mahu merakam gambar dari tingkat tersebut.
Dia kemudian tidak dapat dikesan sehingga mayatnya ditemui di atas tanah.– Agensi