fbpx

Pasar Pacak tarikan baharu di Gunung Lambak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan jualan pakaian terpakai dan makanan di Pasar Pacak di kaki Gunung Lambak di Kluang.

KLUANG – Jualan pakaian terpakai dan makanan di lorong mendaki Gunung Lambak menjadi tarikan baharu penduduk di luar daerah berkunjung ke sini.

Lebih 30 anak muda mengambil kesempatan itu membuka meja berniaga bagi memudahkan pendaki menikmati makanan setelah selesai mendaki gunung tersebut.

Manakala pengunjung yang datang sekadar untuk bersiar-siar di kaki gunung juga boleh menikmati pelbagai makanan bungkus disediakan penjual di­samping bersantai bersama keluarga dengan meja makanan secara bersila di atas tanah lapang berhampiran tempat jualan.

Ahli Jawatankuasa Penganjur, Azwan Kasiran, 35, berkata, idea memperkenalkan tempat jualan yang dikenali sebagai Pasar Pacak ini timbul selepas mendapat ilham melalui tayangan filem klasik Melayu.

Katanya, penjualan secara terbuka seperti itu menarik perhatian pihaknya sebelum me­ngadakan perbincangan dengan rakan-rakan niaga khususnya penjual makanan tradisi serta moden seperti mi rebus atau takoyaki.

“Memang tidak disangka, pasar yang dibuka sejak Februari lalu pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad mendapat sambutan daripada orang ramai walaupun terpaksa mendaki sedikit di kaki Gunung Lambak ini.

“Malah jualan yang dibuka bermula pukul 3 petang hingga 12 tengah malam ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti lain,” ­jelasnya semalam.

Tambahnya, aktiviti itu seperti tayangan wayang pacak dengan filem-filem klasik selain perlawanan bola sepak melibatkan pasukan Johor Darul Takzim.

Menurut Azwan lagi, mungkin suasana kehijauan di sekeliling kaki gunung ini juga sebagai salah satu daya tarikan kepada orang ramai yang jarang menemui ­sebuah pasar seperti disediakan dalam suasana dikekilingi hutan.

Sementara itu, Mahlisa Samat, 37, tidak menyangka ada aktiviti jualan di Gunung Lambak ini ke­rana sudah lama tidak melakukan aktiviti mendaki bersama rakan-rakan dan suami.

“Dengan suasana segar serta jauh daripada kesibukan kota, pasar ini amat sesuai untuk seisi keluarga bersantai sambil menikmati minuman petang dan bersenam juga sebab kena jalan kaki,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI