fbpx

Op Taka: SRPM tidak tolak kemungkinan ada penglibatan agensi penguatkuasaan lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam bergambar bersama pegawai operasi SPRM pada Majlis Pelancaran Pemakaian Kamera Badan SPRM di Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan wujudnya penglibatan agensi penguatkuasaan lain selain Jabatan Imigresen (JIM) berhubung kes rasuah kelulusan Visa Luar Negara (VLN) warga Bangladesh memasuki Malaysia.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, ini termasuk kemungkinan ada pegawai agensi lain yang berada di tanah air turut terlibat ekoran penahanan dua pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh April lalu.

“Mungkin ada penglibatan beberapa agensi penguat kuasa di negara ini, saya tidak kata (hanya) Imigresen, saya cakap tentang agensi penguat kuasa lain.

“Sebelum ini, ada dua pegawai di pejabat Kedutaan Malaysia di Dhaka ditahan untuk siasatan. Lanjutan siasatan itu, seorang lagi pegawai bertugas di pejabat kedutaan terbabit ditahan dan seorang orang awam.

“Hari ini kemungkinan (penahanan dua orang terbaharu) disambung reman kerana siasatan masih memerlukan untuk ditahan reman di bawah sekyen 117,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya mengesyaki kes dijalankan di bawah Op Taka itu turut melibatkan penyaluran sejumlah wang besar yang disalurkan melalui sistem ‘hawala’ di beberapa tempat untuk membawa keluar wang dari negara ini.

Susulan itu, katanya, SPRM turut mengesan wang disyaki dibayar bagi tujuan perolehan visa pelancong yang disalahgunakan untuk masuk ke Malaysia dan ‘hilang’ sebagai pekerja.

“Sepatutnya mereka guna sistem visa ini untuk pekerja, tapi sebaliknya kita mengesan lambakan yang masuk Malaysia dari Bangladesh guna sistem visa luar negara dan masuk sini sebelum hilang sebagai pekerja.

“Visa itu untuk tujuan pas lawatan sosial, kalau tak silap untuk tempoh tiga bulan. Siasatan kita sedang buat bagi mengenal pasti di mana punca berlaku,” katanya.

Azam turut mengesahkan dua pegawai yang ditahan lebih awal masih belum didakwa dan siasatan masih berjalan selain percaya lebih ramai individu akan ditahan.

Pada masa sama, beliau menyerahkan kepada pihak imigresen berhubung kedudukan dua pegawai itu sama ada dikenakan tindakan gantung tugas atau apa-apa tindakan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI