fbpx

Nur Qasrina aktif sukan kuda lasak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR QASRINA aktif menyertai pertandingan kuda lasak di luar negara.

MEMBESAR dalam keluarga yang suka dengan sukan berkuda ternyata memberi pengaruh besar buat Nur Qasrina Amani Zakaria, 22.

Sejak berusia 12 tahun lagi, dia sudah aktif dengan sukan berkuda.

“Pada ketika itu, kakak saya yang aktif dengan sukan berkuda ini. Saya sebagai adik hanya mengikutinya sahaja.

“Kini, saya pula yang serius dengan sukan berkuda ini,” katanya.

Tambahnya, dalam sukan berkuda, dia sangat serius dalam disiplin endurance atau dikenali sebagai sukan kuda lasak.

Baginya, dia lebih tertarik dengan endurance kerana ia melibatkan tunggangan kuda pada jarak jauh sehingga ratusan kilometer, sekali gus memberi cabaran buatnya.

Dalam disiplin tersebut, Nur Qasrina perlu melalui laluan yang mencabar.

“Misalnya hutan, pantai dan sebagainya sambil berpeluang melihat pemandangan yang cantik,” katanya.

Malah dalam disiplin itu, Nur Qasrina pernah menunggang kuda sejauh 120 kilometer (km).

Sepanjang terlibat dalam sukan berkuda, dia pernah mengharumkan nama negara di Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia di Ermelo, Belanda pada 2021 dengan meraih pingat perak.

NUR QASRINA

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka boleh meraih pingat perak memandangkan kejohanan itu disertai oleh pasukan-pasukan hebat dari negara lain.

“Untuk kejohanan ini, saya pergi berlatih di Perancis selama sebulan
bagi menyesuaikan diri dengan kuda terlebih dahulu.

“Melalui latihan ini, saya boleh membina keserasian hubungan dengan kuda.

“Hal ini kerana prestasi dalam pertandingan bukan bergantung kepada manusia semata- mata, sebaliknya kuda juga memainkan peranan.

Tambahnya, dia kini sedang berlatih untuk menyertai kejohanan sukan kuda lasak Piala Sultan Mizan pada Oktober ini.

Selain itu, Nur Qasrina mensasarkan untuk menyertai Kejohanan Kuda Lasak Dunia yang akan diadakan dua tahun lagi.

Dalam pada itu, Nur Qasrina menjelaskan, cabaran yang dihadapinya apabila terlibat dalam sukan berkuda adalah untuk membahagikan masa antara sukan dan pelajaran.

Dia kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Sebelum ini saya boleh fokus kepada latihan, tetapi kini saya perlu mengimbangi masa untuk pelajaran.

“Alhamdulillah, saya dapat membahagikan masa antara kedua-duanya. Jika ada kelas pada waktu pagi, saya akan melakukan latihan pada sebelah petang dan begitu juga sebaliknya,” jelasnya.

Tambahnya, biasanya pada hujung minggu, dia akan menjalani latihan pada pagi dan petang.

Dalam pada itu, Nur Qasrina menjelaskan, keluarganya juga mengusahakan pusat sukan berkuda ataupun Equestrian Stables.

“Perancangan masa depan saya setelah tamat belajar adalah untuk serius dalam sukan berkuda.

“Selain itu, saya berhasrat untuk menguruskan pusat sukan kuda apabila tiba masanya,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI