KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek menegaskan, beliau tidak pernah bersetuju untuk menamatkan kontrak lebih awal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Legenda badminton tanah air itu menjelaskan, kenyataan BAM yang mendakwa beliau sudah mencapai persetujuan bersama badan induk berkenaan tidak selari dengan situasi sebenar yang berlaku.
Justeru, Misbun meluahkan kekecewaan terhadap keputusan itu memandangkan beliau sekurang-kurangnya mahu membuktikan kemampuannya pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2023 di Amerika Syarikat (AS) September depan.
“Kenyataan yang diberikan bahawa saya setuju dengan keputusan diberikan, padahal sebenarnya tidak. Sebenarnya saya tidak bersetuju kerana tidak diulas atau dibentang secara keseluruhan.
“Semasa mesyuarat tempoh hari, saya dipanggil dan dimaklumkan bahawa saya tidak lagi perlu datang kerja esok dan diberhentikan serta merta atas alasan tidak berjaya. Rasa sangat terkilan dan kecewa.
“Apa salahnya jika mereka beri saya peluang untuk teruskan hingga ke Kejohanan Dunia kerana hanya tinggal beberapa bulan lagi. Saya tidak diberi peluang untuk bercakap dan berunding,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, beliau menganggap dirinya seolah-olah dipersalahkan atas semua kegagalan skuad remaja negara pada Kejohanan Badminton Remaja Asia yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia bulan lepas.
“Kenapa pula saya menjadi sasaran atas kegagalan keseluruhan pasukan sedangkan saya hanya uruskan skuad perseorangan. Mengapa saya sahaja jadi sasaran, walhal beregu pun tidak berjaya.
“Kalau nak kata modul saya sudah lapuk tetapi saya sudah buktikan dengan lahirkan tiga pemain No.1 dunia seperti Roslin Hashim, Wong Choong Hann dan Datuk Lee Chong Wei. Saya gunakan modul sama,” ujarnya.
Selain itu, Misbun turut mendedahkan, program latihan diterapkan tidak dapat mencapai potensi sebenar memandangkan ada campur tangan yang sering mengubah program latihan beliau.
Jumaat lalu, Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam mengumumkan Misbun dan badan induk itu mencapai persetujuan bersama bagi menamatkan kontrak yang sepatutnya berakhir hujung tahun ini lebih awal. – KOSMO! ONLINE