fbpx

Mahkamah: Anwar peroleh injunksi sementara halang Muhammad Sanusi keluar kenyataan fitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kiri) dan Sanusi.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah bagi menghalang Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada mengeluarkan kenyataan yang memfitnah di media sosial, laman web dan mana-mana platform lain.

Perkara itu disahkan peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili Anwar ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut peguam itu, Hakim Mahazan Mat Taib , telah membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan Pengerusi Pakatan Harapan itu pada prosiding semalam.

“Perintah injunksi itu dikeluarkan bagi menghalang defendan (Muhammad Sanusi), kakitangan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan kenyataan-kenyataan serupa yang mempunyai kecenderungan untuk menggambarkan plaintif (Anwar) sama ada secara langsung atau dengan sindiran dalam mana-mana saluran media sosial defendan, laman web dan mana-mana platform lain.

“Defendan juga harus mematuhi perintah injunksi ex-parte ini dengan serta-merta selepas penyampaian perintah ini kepada defendan,” kata Nair ketika dihubungi hari ini.

Menurut peguam itu lagi meskipun kes saman itu masih menunggu pendengaran pada tarikh yang akan ditentukan oleh mahkamah, namun Muhammad Sanusi dengan tegar dan tekad mengulangi kenyataan fitnah serupa berkaitan dengan perbicaraan kes jenayah membabitkan Anwar dalam dua ceramah iaitu Jelajah PN Best Negeri Sembilan pada 18 Mac lalu di Nilai, Negeri Sembilan dan Jelajah Selangor Baharu-Selayang pada 11 Julai di Selayang, Selangor.

Katanya, perintah injunksi yang dimeterai itu telah diserahkan kepada peguam yang mewakili Muhammad Sanusi hari ini pada 12.30 tengah hari.

Justeru Muhammad Sanusi diberi amaran keras supaya mematuhi terma perintah injunksi interim tersebut dan sekiranya gagal, beliau akan dikenakan tindakan undang-undang.

Pada 13 Disember tahun lalu, Anwar menyaman Muhammad Sanusi, berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Menurut plaintif kenyataan-kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lepas.

Sementara Muhammad Sanusi dalam pernyataan pembelaannya menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa niat jahat dan memfitnah Anwar, sebaliknya mengkritik ahli Parlimen Tambun itu bagi tujuan kempen Pilihan Raya Umum ke-15. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI