PORTO ALEGRE – Penyerang Gremio, Luis Suarez mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan pasukan itu semusim lebih awal berbanding kontrak yang ditandatanganinya yang akan berakhir hujung tahun depan.
Bagaimanapun, pemain berusia 36 tahun itu menafikan khabar angin yang kuat mengatakan bahawa dia akan menyertai rakan baiknya, Lionel Messi di Inter Miami.
Suarez menandatangani kontrak selama dua tahun pada Januari lalu, namun dia mengesahkan bahawa telah mengadakan rundingan bersama untuk mengkaji semula kontrak dan mencapai kata sepakat untuk ia diakhiri pada Disember nanti.
“Saya dapat rasakan bahawa saya tidak mampu untuk memberikan aksi terbaik tahun depan ekoran masalah kecergasan ketika saingan Liga Brazil menuntut keupayaan tersebut. Itulah sebab saya mengadakan rundingan semula bersama Gremio untuk menamatkan kontrak lebih awal.
“Ia mungkin berakhir pada Disember ini. Kelab sudah bersetuju dan saya sangat bersyukur. Saya tidak pasti sama ada mampu meneruskan karier di tempat lain kerana saya juga adalah masalah kronik pada bahagian lutut,” katanya.
Suarez dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Miami untuk menyertai beberapa bekas rakan sepasukannya di Barcelona sebelum ini termasuk Messi, Sergio Busquets dan Jordi Alba, namun dia menafikannya.
“Saya tahu ada rundingan antara Gremio dan Inter Miami. Namun, kelab memberitahu mereka bahawa saya masih mempunyai kontrak. Saya boleh sahkan bahawa mereka tidak menghubungi saya,” jelasnya. – AGENSI