PASIR MAS – Sebanyak 21 buah rumah dan sebuah surau di Kampung Bukit Lata di sini yang terletak di tebing Sungai Golok mengalami kerosakan selepas terkena tempias gegaran daripada sebuah kilang bunga api dan mercun di Mundok, Thailand yang meletup petang kelmarin.
Seorang penduduk, Syed Kamarul Syed Othman, 52, berkata, mereka yang terlibat mengalami kerugian hampir RM200,000 apabila siling, tingkap dan cermin rumah pecah ekoran gegaran kuat itu.
Menurutnya, dia sendiri memerlukan kos sebanyak RM15,000 untuk membaiki atap, siling dan tingkap rumah yang pecah.
“Saya akan membaiki semua kerosakan ini sedikit demi sedikit. Jika tidak, kos sebanyak RM15,000 diperlukan untuk menukar kipas, siling kapur dan atap yang pecah. Mana nak dapatkan wang sebanyak itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Lata di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Syed Ismail Syed Mamat, 57, berkata dia kini mula membersihkan sisa-sisa siling pecah yang bertaburan di dalam rumahnya.
“Letupan itu sangat kuat sehingga bergegar rumah, menyebabkan siling runtuh.
“Mujur saya sekeluarga tidak mengalami kecederaan kerana jarak gudang mercun itu dengan rumah kami hanya 800 meter,” katanya.
Menurutnya, penduduk kampung kini bergotong-royong membersihkan surau apabila premis itu paling teruk terjejas.
Sementara itu, Nor Ayunie Amran, 37, yang sedang berpantang selepas melahirkan anak turut merasai gegaran akibat letupan dari kawasan seberang Sungai Golok itu.
Katanya, selepas terdengar letupan itu, sebahagian siling rumahnya runtuh sebelum dia dan suami membawa empat anak keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
“Dalam kejadian ini, siling rumah saya runtuh, manakala cermin rumah pula rosak.
“Kami sekeluarga panik apabila berlaku gegaran di dalam rumah dan melihat kepulan asap di udara, diselangi dengan letupan kecil di Mundok. Ramai beritahu gudang mercun di situ meletup,” katanya.
Kejadian itu ujar Nor Ayunie, nyaris mencederakan bayinya yang berusia 23 hari cedera apabila serpihan siling pecah jatuh terkena badan.
Dalam pada itu, pemilik bot penambang, Razak Che Wan, 62, berkata, ketika kejadian dia yang berada di dalam bot di tebing Sungai Golok dekat Pekan Mundok tiba-tiba rebah.
“Seolah-olah ada angin kuat menolak badan saya. Selepas itu kecoh penduduk di Pekan Mundok beritahu ada gudang mercun meletup. Saya menghidupkan enjin bot tambang dan menyeberang Sungai Golok untuk pulang ke rumah,” ujarnya.