CYBERJAYA – Para pengamal media disaran untuk melaporkan berita berkaitan tingkah laku bunuh diri secara berhemah, lebih sensitif dan bertanggungjawab bagi mengelakkan wujudnya ‘suicide contagion’ terhadap individu berisiko.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, pengamal media memainkan peranan penting berikutan cara pelaporan mereka boleh memberi kesan positif atau negatif kepada masyarakat.
“Tiada halangan untuk media membuat penulisan berkaitan kejadian bunuh diri, cuma kita tekankan dan memohon ihsan pengamal media untuk menggunakan cara penulisan berhemah dan mengikut garis panduan.
“Ia memandangkan kajian dijalankan (menunjukkan) penulisan (di media) mewujudkan ‘suicide contagion’ atau idea untuk membunuh diri kepada individu yang berisiko untuk berbuat sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program MySave (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope) dan Taklimat kepada Pengamal Media Berkaitan Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab berkaitan Bunuh Diri di Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) petang tadi.
Menurutnya, pelaporan yang lebih berhemah bukan sahaja dapat membantu mencegah tragedi itu berulang, malah ia mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap individu mengalami masalah mental terutamanya mereka mempunyai tingkah laku bunuh diri.
“Jika pengamal media melaporkan tentang bunuh diri dengan cara sensasi atau tidak bertanggungjawab, ia boleh membawa kepada pelbagai kesan negatif termasuk peniruan dan normalisasi perbuatan bunuh diri,” katanya. – KOSMO! ONLINE