fbpx

JDT bikin Gergasi Merah tersembam lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FERNANDES tidak menunggu lama melakukan jaringan bersama JDT ketika aksi menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin. - RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari memuji aksi disiplin dipamerkan barisan pemainnya sehingga mampu meleraikan benteng pertahanan Selangor FC yang hampir meleburkan rekod kemenangan 100 peratus JDT pada Liga Super musim ini.

Kemenangan 2-0 ke atas skuad Gergasi Merah di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan JDT mengheretkan rekod kemenangan kepada 18 perlawanan berturut-turut dan semakin hampir untuk merangkul kejuaraan liga buat kali ke-10.

Berdepan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe, Solari mengakui pemain terpaksa bermandi peluh sebelum dapat merobek gawang Selangor pada minit ke-78 hasil jaringan penggempur baharu JDT, Heberty Fernandes yang membuka rekod jaringan bersama JDT.

“Seperti dijangka, pertembungan ini menjadi satu perlawanan sukar buat kami. Agak sukar untuk mempersiapkan pasukan untuk berdepan dua final berturut-turut.

“Apa pun secara keseluruhan, pemain menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi untuk me­rungkai cabaran dihadapi dan hasilnya cukup memuaskan setelah berjaya mengutip tiga mata,” katanya.

Pada perlawanan itu, Fernandes yang membuat aksi debut sebagai pemain gantian mencuri tumpuan apabila meledak gol pertama JDT, sekali gus menjadi pencetus kemenangan sebelum Bergson Da Silva melengkapkan kemenangan itu dengan jaringan penalti pada masa kecederaan.

Dalam pada itu, Solari berpuas hati setelah berjaya menewaskan Selangor dalam tiga pertemuan musim ini termasuk aksi kalah mati Piala FA di SSI, sebelum ini.

“Ini adalah pertemuan ketiga kita berjaya tewaskan mereka dalam masa sama tidak membenarkan pihak lawan yang juga merupakan salah satu pasukan terbaik dalam mencipta sebarang gol, pujian perlu diberikan pada pemain,” katanya.

Solari turut memuji aksi Fernandes yang menjaringkan gol pertama bersama JDT dan yakin lebih banyak jaringan boleh dihasilkannya setelah dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan JDT yang pantas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI