PETALING JAYA – Tidak hadir ke sekolah selama seminggu gara-gara influenza.
Itu antara perkongsian ibu bapa mengenai wabak influenza yang dikatakan semakin menular ketika ini.
Tinjauan di media sosial mendapati, rata-rata ibu bapa meluahkan rasa bimbang selepas ramai kanak-kanak dijangkiti influenza sehingga menyebabkan beberapa hospital juga didapati penuh gara-gara wabak itu.
Menurut seorang pengguna dikenali sebagai Nadira berkata, dia hanya berjaya mendapatkan katil untuk anaknya yang menghidap influenza selepas pergi ke empat buah hospital.
“Anak saya juga baru ditahan wad malam tadi. Tiga hospital penuh dengan kes ini, hospital keempat baru ada bilik. Kali kedua kena influenza tahun ini,” katanya.
Seorang lagi penggu turut berkongsi pengalaman sama apabila dijangkiti wabak tersebut baru-baru ini.
“Baru lepas kena, dia punya sakit lebih teruk daripada Covid-19,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai Aishqis berkata, anaknya juga dijangkiti virus tersebut sehingga ditahan wad kerana muntah berterusan.
Anak saya kena bulan lepas, buat pemeriksaan di klinik swasta dan diarahkan kuarantin di rumah selama seminggu. Tapi dimasukkan ke wad selepas muntah berterusan, sakit kepala dan lesu,” kongsinya.
Seorang lagi pengguna, Shaharissa turut mengakui keadaan di hospital swasta kini juga sibuk berikutan ramai orang jatuh sakit.
“Betul, hospital swasta semua penuh, jaga kesihatan sekarang musim demam virus,” katanya. – KOSMO! ONLINE