fbpx

7 PATI Indonesia gagal masuk guna jalan tikus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara warga Indonesia yang ditahan ketika menyelinap masuk secara haram ke negeri ini menggunakan jalan tikus di tiga lokasi sempadan Malaysia-Indonesia dekat sini, semalam.

KUCHING – Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan tujuh warga Indonesia yang menyelinap masuk secara haram ke negeri ini menggunakan jalan tikus di tiga lokasi sempadan Malaysia-Indonesia dekat sini, semalam.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) berkata, dua daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditahan anggota yang sedang menjalankan rondaan di kawasan Kandaie, kira-kira 100 meter dari sempadang Malaysia-Indonesia pada pukul 7 pagi.

Katanya, dua lagi PATI ditahan pada pukul 3 petang yang masuk menggunakan sebuah motosikal di kawasan Pos Sungai Paoh kira-kira 200 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Selain itu, beliau berkata, anggota yang menjalankan rondaan di kawasan Biawak 120 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia turut menahan tiga PATI dari negara jiran pada pukul 4.30 petang.

“Enam lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia 31 hingga 46 tahun itu tidak memiliki pasport atau pas kerja di Malaysia. Mereka masuk secara haram melalui jalan tikus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati tiada barang terlarang ditemui dan nilai keseluruhan barangan yang diperiksa berjumlah lebih RM10,000 melibatkan sebuah motosikal, telefon bimbit serta wang tunai.

“Kesemua PATI itu kemudian diusir melalui Pos kawalan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD), Kumba Semunying. Laporan polis berkaitan pengusiran tersebut telah dibuat di Balai Polis Lundu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI