fbpx

44 maut bom meletup ketika perhimpunan politik di Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penyelamat memeriksa lokasi kejadian selepas bom meletup di daerah Bajaur, semalam. – AFP

ISLAMABAD, PAKISTAN – Satu letupan bom menggegarkan persidangan parti politik Jamiat Ulema Islam-Fazl (JUI-F) di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan, semalam, yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 44 orang dan mencederakan lebih 200 yang lain, lapor laman berita Wion News.

Pegawai kecemasan daerah Bajaur memberitahu saluran televisyen Geo News bahawa seorang pemimpin tempatan parti tersebut juga ialah antara mangsa yang terbunuh.

Menurut beberapa laporan media tempatan, letupan berlaku di sebuah kawasan dalam persidangan itu, manakala agensi-agensi penguatkuasa telah mengepung lokasi kejadian.

Menteri Kesihatan wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Riaz Anwar berkata, sekurang-kurangnya 17 mangsa yang cedera parah akibat letupan bom itu kini berada dalam keadaan kritikal.

“Saya mengesahkan bahawa terdapat 39 mayat di hospital, selain 123 cedera termasuk 17 yang berada dalam keadaan kritikal.

“Ia merupakan serangan bunuh diri. Pengebom meletupkan dirinya ketika berada hampir dengan pentas,” kata Riaz.

Sementara itu, salah seorang peserta yang hadir ke perhimpunan itu, Abdullah Khan berkata,  khemah runtuh menyebabkan orang ramai terperangkap dan terdesak menyelamatkan diri.

“Keadaan sangat huru-hara. Serpihan daging, anggota badan dan bahagian tubuh bertaburan di seluruh kawasan tersebut di samping mayat-mayat bergelimpangan,” katanya kepada agensi berita AFP.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu setakat ini.

Namun, beberapa laporan media tempatan menyebut sayap tempatan militan Daesh ada melaksanakan beberapa serangan yang menyasarkan JUI-F sebelum ini. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI