PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri sehingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya berkata, seluruh negeri Perlis diramal hujan lebat dan ribut petir dalam tempoh pukul 3 hingga 5 petang.
“Beberapa kawasan di Kedah iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan dan Pendang turut dijangka mengalami cuaca yang sama.
“Di Perak, kawasan yang diramal ribut petir dan hujan lebat pula adalah Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim,” katanya.
Tambahnya, kawasan yang dijangka berdepan cuaca buruk di Pahang adalah Tanah Tinggi Cameron dan Lipis.
Ujarnya, bagi negeri lain, cuaca dijangka cerah dan baik ekoran tiada amaran ribut petir dikeluarkan.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam. – KOSMO! ONLINE