fbpx

PRN: Kempen Dominic hambar tanpa kelibat wakil Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DOMINIC ketika menjalankan kempen bertemu pengundi di kawasan Flat Jalan Kolam Air, Bayan Lepas, hari ini.

BALIK PULAU – Kempen calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Datuk Dominic Lau yang memasuki hari kedua hari ini nampaknya ‘hambar’ tanpa kelibat wakil Pas.

Tidak kelihatan wakil Pas di kedua-dua lokasi kempen ketika Dominic turun padang menyertai walkabout di Pasar Taman Sahabat dan Jalan Kolam Ikan hari ini.

Situasi itu seolah-olah mengesahkan kempen pilihan raya negeri yang digerakkan Dominic diboikot oleh akar umbi dan jentera Pas di DUN Bayan Lepas.

Ini susulan dakwaan bahawa Dominic telah mencantas Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim yang dinamakan sebagai calon DUN Bayan Lepas oleh pimpinan Pas Pusat.

Bagaimanapun, Dominic yang merupakan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menafikan ahli akar umbi Pas Bayan Lepas memboikot kempennya memandangkan dia turun berjumpa dengan pengundi India dan Cina hari ini.

“Ada Pas bantu, semasa penamaan calon sudah ada yang turun. Bukan semua kempen ada (jentera) parti komponen. Hari ini juga kalau kita lihat Bersatu tidak turun kerana saya berjumpa dengan orang India dan Cina.

“Kita ada peranan masing-masing, ada jentera yang memasang bendera, kerja memasang poster dan sebagainya,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan walkabout di sebuah flat di Jalan Kolam Ikan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, dia menemui beberapa cawangan dan pemimpin akar umbi Pas di DUN Bayan Lepas bagi membincangkan soal kempen untuk kemenangan PN di DUN berkenaan.

Ketika ditanya sama ada beliau berhubung dengan Iszuree berhubung penamaan beliau sebagai calon DUN Bayan Lepas, Dominic berkata, dia ada berhubung dengan pemimpin Pas Bayan Lepas itu sebelum hari penamaan calon.

“Isu ini akan diselesaikan secara dalaman. Seperti saya katakan ini adalah isu komunikasi dan salah faham antara PN Pulau Pinang. Semua cadangan, pandangan, perspektif adalah berlainan, kita cuba terangkan dan harap mereka terima,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI