KUALA SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH), Mohd. Yahya Mat Sahri kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan kain rentang wajah Perdana Menteri di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.
Menurut Ketua Cabang Parti PKR Tanjong Karang itu, terdapat empat kain rentang sengaja dipotong dan dilubangkan di Jalan Raja Musa, Kampung Sungai Gulang-Gulang dan Kampung Parit Serong, Tanjong Karang, di sini.
Mohd. Yahya yang mesra dipanggil Pak Ya
menjelaskan perbuatan biadap seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana menghina Perdana Menteri negara ini.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih dan mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Agong serta mengikut Perlembagaan negara.
“Jangan kita menimbulkan provokasi melampau seumpama itu yang dianggap tidak matang sama sekali,” katanya ketika ditemui di Kampung Ujung Permatang, Tanjong Karang, hari ini.
Tinjauan di Jalan Raja Musa mendapati wajah Anwar pada satu kain rentang PH dipotong dan berlubang.
Dalam pada itu, kata Mohd. Yahya, beliau sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada polis bagi tindakan lanjut.
“Setakat ini, kita tidak membuat laporan polis namun meminta pihak berkuasa menjalankan pemantauan di kawasan tersebut.
“Kita kekal menggunakan pendekatan berkempen secara bersih dengan memfokuskan turun padang menyantuni rakyat setempat,” katanya. -KOSMO! ONLINE.