SHAH ALAM – Para pengundi khususnya di Selangor tidak boleh menganggap Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya sekadar eksperimen ekoran tidak memberikan impak kepada Kerajaan Persekutuan sedia ada.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, mereka mesti tahu nilai setiap undi dengan kesilapan dalam pengundian teesebut boleh mengundang kepada kemudaratan lebih besar.
“(PRN) Sangat penting untuk kerajaan (Persekutuan). Jangan lihat PRN ini dianggap sebagai pilihan raya cubaan-cubaan (sehingga anggap) yang penting kerajaan persekutuan masih kekal.
“Kita tidak bolehkan negeri yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan yang akan membantutkan segala perancangan atau pembangunan terutama libatkan perkara penting dalam negeri tersebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan forum keusahawanan dan penjanaan ekonomi di sini, hari ini.
Beliau yang juga calon Gombak Setia memberitahu, penting kepada rakyat negeri ini mengetahui Selangor akan
menjadi sebagai satu modul kepada negara.
Jelas Megat Zulkarnain, ini kerana segala limpahan diperoleh Selangor telah menarik seluruh rakyat dari seluruh negara ini untuk menetap di negeri ini.
“Minta maaf, lihat Kelantan apa yang berlaku lebih 30 tahun bila tidak sealiran akan membantutkan segala perkembangan, pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur dalam negeri tersebut.
“Jadi, Selangor sebagai penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Yang rugi adalah rakyat dalam negeri selangor,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk ketika ini merupakan modul pentadbiran yang terbaik pernah ada di negara ini.
“Pola politik sudah berubah. Jadi , saya mohon kepada rakyat dan pengundi dalam Selangor jangan terbuai, termakan dengan kata-kata tidak keluar mengundi pun tidak apa.
“Ini tidak betul kerana undi kalian tentukan kedudukan dan kestabilan Selangor itu sendiri,” katanya. -KOSMO! ONLINE.