fbpx

PRN: Altimet tidak guna populariti, usaha kempen 150 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Altimet bersalaman dengan penduduk Lembah Jaya pada Pertandingan Badminton Parlimen Ampang di Kompleks D'Star Arena, hari ini. - Foto M Firdaus M Johari/ KOSMO!

AMPANG JAYA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Altimet tidak akan bergantung kepada populariti semata-mata, sebaliknya akan mempergiatkan usaha untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kali ini.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata, setakat ini, pergerakan kempen yang diisi dengan pelbagai program berjalan lancar dan akan dikuatkan dalam tempoh sehari dua lagi.

Menurutnya, sesiapa yang hanya bergantung kepada populariti sahaja ialah orang yang kurang bijak.

“Alhamdulillah setakat ini, kempen kita berjalan lancar dan saya jenis orang yang akan bagi usaha sebanyak 150 peratus dan itu yang saya akan bawa semasa berkempen.

“Hari ini boleh dikatakan seperti panas badan dan insya-Allah dalam satu atau dua hari lagi akan masuk gear empat dan lima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni Majlis Resepsi penduduk Lembah Jaya, di sini hari ini.

Sebelum itu, Altimet sempat meluangkan masa pada program Mega Zumba di Taman Kosas dan beramah mesra bersama komuniti pangsapuri Lembah Permai sebelum mengunjungi Pertandingan Badminton Parlimen Ampang di Kompleks D’star Arena.

Dalam pada itu, Altimet berkata, meskipun baru tiga tahun berada dalam arena politik, namun dia percaya dengan pengalaman yang dimiliki mampu mendapatkan kepercayaan penduduk Lembah Jaya.

“Saya ambil pendekatan, pengalaman saya dalam industri muzik, apabila kita mahu menulis lagu untuk rakyat kita kena turun ke bawah dan mendengar.

“Di samping itu, saya juga sudah bertugas hampir 10 bulan sebagai Penyelaras di DUN Lembah Jaya dan itu juga merupakan satu petanda bagi prestasi kerja saya yang boleh rakyat jangka apabila saya dipilih menjadi Ahli DUN Lembah Jaya,” ujarnya.

Bagi kempen kali ini, Altimet berkata, dia akan memberi fokus kepada isu kekeluargaan dan belia selain kelestarian bukan sahaja meliputi infrastruktur malah ekonomi dan pekerjaan.

“Kita tahu kanak-kanak akan mewarisi masa depan, manakala belia pula adalah penentu masa kini.

“Jadi, kita akan cuba menghalakan belia kepada pekerjaan-pekerjaan yang boleh membawa kualiti hidup yang lebih tinggi,” katanya.

Mengulas mengenai penyandang DUN Lembah Jaya, yang sebelum ini meninggalkan PKR untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), Altimet berpandangan ia bukanlah suatu isu yang besar mahupun misi membalas ‘dendam’.

“Kita di Lembah Jaya ini tak mahu pandang belakang, kita nak pandang ke depan. Lebih baik kita merancang Lembah Jaya yang berjaya bersama untuk semua lapisan masyarakat,” jelasnya.

Altimet yang merupakan Ketua cabang PKR Ampang akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Sharifah Haslizah Syed Arifin yang juga Ketua Penerangan Pas Ampang di kerusi DUN Lembah Jaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI