fbpx

Peruntukan lebih RM500,000 diumum Ahmad Zahid tiada kaitan PRN – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) ketika menyempurnakan perasmian sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2023 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Peruntukan lebih RM500,000 yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada golongan belia di Terengganu kelmarin, tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman tersebut dibuat sebelum hari penamaan calon, semalam.

“Penamaan calon semalam. (Urusan) kerajaan mesti jalan selepas umum ni. Dia tak ada kena mengena dengan PRN.

“Ada orang cadang jangan buat pengumuman langsung. Tak boleh. Saya PM jaga negara semuanya. Kalau penting, kita umum.

“Tapi saya dah bagitahu tak boleh guna jentera negeri, tak boleh khusus dijadikan kempen di negeri mulai semalam hingga hari pengundian. Itu keputusan Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2023 di Pavilion Bukit Jalil, di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan ucapan Ahmad Zahid di Terengganu kelmarin, jelas memberi sogokan dan bercanggah dengan undang-undang negara.

Beliau dipetik berkata, tindakan memberi pelbagai geran dan sumbangan kewangan dengan syarat mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) jelas mempunyai unsur rasuah menjelang PRN.

Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid dalam ucapan semasa program Sentuhan Kasih Desa di Terengganu mengumumkan tambahan peruntukan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Selain itu, beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI