fbpx

Penggubalan NIMP 2030 di peringkat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul (kanan) meninjau ruang pameran selepas merasmikan MITI Day Pulau Pinang di Kubang Menerong, Kepala Batas hari ini. Gambar oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Penggubalan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 kini dalam peringkat akhir dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat sebelum bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim penghujung Ogos depan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelan terbabit sedang diperhalusi oleh kementerian.

Menurutnya, ‘task force’ (pasukan petugas) sedang mengemaskini pelan berkenaan dan pihaknya turut bertemu bersama pegawai, broker dan agensi berkaitan sebagai persiapan terakhir sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

“Apa yang boleh saya kongsikan, diskusi yang berlangsung setakat ini adalah paling komprehensif yang pernah kita lakukan kerana ia membabitkan industri baharu dan juga kementerian lain.

“Seperti yang PM maklumkan dalam Ekonomi MADANI baru-baru ini, beliau memberi gambaran bahawa wadah itu tidak hanya tertumpu kepada sektor asas semata-mata.

“Tetapi, ia turut memainkan peranan sebagai sebahagian daripada transformasi industri yang diharap dapat membantu memperkembangkan ekonomi selaras penanda aras yang ditetapkan,” katanya selepas merasmikan MITI Day Pulau Pinang di Kubang Menerong, Kepala Batas di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata, NIMP 2030 berperanan sebagai satu kerangka dasar yang komprehensif merangkumi misi, keutamaan, dan pelan tindakan dalam mentransformasikan sektor perkilangan Malaysia.

Katanya, transformasi itu bertujuan untuk mencipta sumber kekayaan baharu negara dengan meningkatkan kompleksiti ekonomi, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti sekaligus meningkatkan taraf kehidupan rakyat yang lebih sejahtera.

“Pelan ini juga telah mengambil kira komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang tahun 2050 dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030.

“Selain itu, kita juga bakal melancarkan Rangka Kerja ESG untuk sektor perkilangan pada bulan September 2023.

“Kedua-dua dasar ini saling melengkapi ke arah mengarusperdanakan amalan ESG terutamanya di kalangan perusahaan kecil dan sederhana seiring dengan trend semasa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI