KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan pelantikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.
Beliau berkata, pada masa ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali diarahkan memangku tugas Menteri KPDN.
“Belum, saya kata biar lepas PRN. Kemudian bagi masa saya fikir. Sementara ini, saudara Armizan diberi tanggungjawab memantau dan jalankan tugas, Fuziah (Timbalan Menteri KPDN) pun dah faham tu.
“Jadi boleh lah saya bincang, nampak tiada gangguan dan saya minta saudara Armizan tumpu sikit dalam kementerian dan Fuziah serta Ketua Setiausaha ada. Saya fikir tidak terlalu lama,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai pengganti Allahyarham Salahuddin.
Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2023 di Pavilion Bukit Jalil di sini hari ini.
Terdahulu, Allahyarham Salahuddin meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor selama dua penggal, meninggal dunia pada pukul 9.23 malam, ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi HSB. – KOSMO! ONLINE