fbpx

Pemuda risau hilang pekerjaan sekali lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setelah kehilangan kerja dahulu, Adam kini terus dirundung tekanan kerana bimbang akan kehilangan kerja sekali lagi apabila syarikat dia ketika ini berdepan masalah kewangan. – GAMBAR HIASAN

DIBERHENTIKAN kerja secara mengejut telah menjadi satu peristiwa yang memberi kesan amat besar kepada diri seorang pemuda dikenali sebagai Adam.

Adam tidak menyangka bahawa syarikat tempatnya mencari rezeki itu terpaksa ditutup dan pekerja-pekerja diberhentikan secara tiba-tiba.

“Saya telah bekerja di syarikat itu selama lebih lapan tahun sehingga merasakan mungkin saya akan bekerja di situ sampai bersara kelak.

“Namun, tanpa disangka, syarikat tempat saya kerja itu terpaksa ditutup kerana masalah kewangan dan pekerja harus diberhentikan,” katanya yang berusia pertengahan 30-an.

Jelas Adam, dia hanya diberikan sedikit pampasan apabila diberhentikan kerja.

Apa yang membuatkan Adam resah adalah ketika itu dia baru sahaja berkahwin dan isterinya sedang mengandungkan anak pertama mereka.

Tidak lama diberhentikan kerja, negara pula dilanda pandemik Covid-19 yang menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Itu sekali gus menyukarkan Adam untuk mencari kerja baharu.

“Pada ketika itu, saya berasa amat tertekan memandangkan saya ketua keluarga yang harus mencari rezeki.

“Hanya isteri yang mengetahui saya diberhentikan kerja dan saya merahsiakannya kepada ahli keluarga yang lain,” kata Adam.

Adam mengakui pada itu, dia berhadapan dengan tekanan yang cukup kuat memandangkan duit simpanannya semakin menyusut dan masih belum bekerja.

Malah, dia sendiri berasa amat kecewa kerana pelbagai usaha telah dia lakukan untuk mencari pekerjaan baharu tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Tekanan yang dialaminya sehingga mengalami gangguan tidur dan rasa gelisah yang tidak menentu. –GAMBAR HIASAN

Pada ketika itu, Adam merasakan dirinya berhadapan dengan simptom depresi dan dia selalu ‘overthinking’ tentang masa depannya dan keluarga.

Malah, dia sering berhadapan dengan gangguan tidur, rasa gelisah yang tidak menentu dan lain-lain lagi.

“Saya melihat simptom depresi dan semua itu ada dalam diri saya pada ketika itu sehingga terdetik di hati ingin membunuh diri.

“Malah, saya sendiri pada ketika itu merasakan diri seakan tidak berguna kerana tidak dapat membahagiakan isteri disebabkan tidak berkemampuan.

“Isteri saya yang banyak membantu, namun dalam diam, dia menceritakan hal tersebut kepada ayah mentua saya,” katanya.

Tambah Adam, dia bersyukur bapa mentuanya memahami situasi dilaluinya dan banyak memberi nasihat serta semangat buatnya agar tidak berputus asa dalam kehidupan.

Setelah kelahiran anak pertamanya, Adam akhirnya mendapat tawaran pekerjaan setelah hampir tujuh bulan menganggur.

Namun, setelah dua tahun bekerja di syarikat baharu, Adam mendapati dirinya masih berdepan simptom-simptom depresi.

“Saya ingatkan setelah mendapat pekerjaan rasa tekanan itu akan hilang, tetapi tidak, ia masih bersarang di dalam diri saya.

“Tambahan pula saya mendengar khabar angin bahawa syarikat tempat saya bekerja sekarang berhadapan dengan masalah kewangan dan mungkin akan ada pekerja dikurangkan.

“Khabar angin ini merisaukan saya dan ada ketikanya apabila saya terlalu memikirkan tentang hal tersebut saya menjadi amat tertekan,” terangnya.

Ujarnya, dengan umur yang kian meningkat, dia risau semakin sukar untuk mencari pekerjaan andai kata kehilangan kerja sekali lagi.

Adam mengakui, dia menyedari simptom-simptom depresi itu masih ada dalam dirinya tetapi dia takut untuk bertemu dengan pakar bagi mengesahkannya.

Namun, dakwanya, ketika ini dia masih mampu untuk mengawal depresi dan jika ada saat-saat tertekan apa yang Adam lakukan hanyalah mendekatkan diri dengan Allah sama ada membaca al-Quran atau berzikir bagi mendapatkan kembali ketenangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI