PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa sebuah suruhanjaya tinggi kerana disyaki menerima rasuah bagi meluluskan permohonan visa warga Bangladesh.
Difahamkan, suapan tersebut diterima bagi membolehkan warga Bangladesh terlibat memasuki Malaysia dengan menggunakan alasan untuk melancong.
Menurut sumber, siasatan mendapati pegawai penguat kuasa yang bertugas di suruhanjaya tinggi itu dipercayai bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia.
Jelasnya, pihak terlibat dengan sengaja menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) bagi membawa masuk rakyat Bangladesh untuk bekerja di Malaysia sejak 2021.
“Hasil siasatan mendapati pegawai itu melakukan perbuatan haram tersebut sejak 2021 selain dipercayai menerima bayaran AS$300 (RM1,366) ke AS$500 (RM2,276) bagi setiap kelulusan permohonan VLN.
“Ia membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta meskipun pembayaran visa yang ditetapkan kerajaan hanya RM105 sahaja,” katanya kepada Kosmo! sebentar tadi.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 6.30 petang semalam, ketika hadir ke Pejabat SPRM Putrajaya.
“Seorang individu yang ditahan dipercayai pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja yang bersekongkol dengan pegawai agensi penguat kuasa tersebut.
“Pegawai itu adalah pegawai agensi penguat kuasa ketiga ditahan untuk membantu siasatan Op Taka yang dilancarkan pada April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia,” jelasnya.
Susulan penahanan tersebut, Majistret Mageshwary Muniandy membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Shah Alam hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE