JERANTUT – Perjuangan memartabatkan warisan Mat Kilau Kampung Kedondong di sini yang dilihat memuncak ketika tayangan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan didakwa semakin hilang.
Malah selepas setahun tapak rumah itu dibersihkan, kini lokasi berkenaan kembali menjadi semak samun sekali gus mendatangkan ketakutan kepada orang ramai untuk melihat tapak rumah pahlawan itu seperti sebelum ini.
Lebih mengecewakan dakwa waris dan penduduk setempat apabila usaha membina rumah pahlawan Melayu Pahang itu masih belum bermula.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kedondong, Mohd. Rozi Rozuki berkata, cadangan pembinaan semula rumah Mat Kilau seolah-olah lenyap dan tidak kedengaran lagi seperti mana filem yang kian dilupakan orang ramai.
“Ketika filem epik sejarah ini mula meletup pada pertengahan tahun lalu, ramai kalangan mereka yang datang ke sini termasuk wakil kerajaan negeri dan puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjanji untuk memberikan peruntukan membina semula rumah Aki Mat Kilau di pesisir Sungai Pahang dekat kampung ini.
“Tetapi sehingga kini janji tinggal janji dan saya sendiri tidak menerima apa-apa dokumen atau surat berhubung pembinaan semula rumah ini selepas sudah hampir setahun menunggu dengan penuh yakin,” katanya di sini semalam.
Berita berkaitan: Tapak rumah Mat Kilau di Kampung Kedondong dibersihkan
Menurut Mohd. Rozi, tapak asal rumah Mat Kilau kini sudah dipenuhi semak-samun dan ahli JPKK di situ tidak mampu lagi membersihkannya kerana melibatkan perbelanjaan yang tinggi.
Jelasnya, artifak rumah Aki Mat Kilau wajar diteruskan oleh kerajaan negeri di Kampung Kedondong dan sewajarnya waris yang memiliki tanah berkenaan digantikan tanah di tempat lain di sekitar Pulau Tawar.
Sementara itu, seorang penduduk, Rozi Yaakop, 56, berkata, kalangan penduduk di situ amat mengharapkan pembinaan semula rumah Mat Kilau untuk tatapan anak cucu mereka yang kebanyakan waris pahlawan Melayu Pahang itu.
“Kami pun berasa malu hendak menjelaskan apabila ditanya oleh pengunjung ke kampung ini di mana letaknya rumah Mat Kilau dan bagaimana bentuk binaannya.
“Yang kami mampu hanya membawa mereka melawat ke bekas tapak asal dan tidak tahu bagaimana seni binaannya. Kemungkinan hanya yang lebih maklum adalah pakar sejarah negeri ini,” katanya.