KUALA LUMPUR – Program Jualan Rahmah Bergerak yang dilancarkan pertama kali pada 16 Jun lalu telah berjaya dilaksanakan di 396 lokasi di seluruh negara berdasarkan rekod sehingga semalam.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata, menerusi inisiatif tersebut, ia mempunyai kelebihan di mana lori-lori Jualan Rahmah Bergerak dapat dipastikan sampai secara terus kepada golongan sasar.
“Pelaksanaannya berkonsepkan ‘Kedai Cari Rakyat’ dan ia mampu dilaksanakan di tempat berbeza pada hari yang sama, di mana lori yang membawa barang keperluan asas harian mampu masuk ke kampung-kampung, kawasan B40, PPR dan taman perumahan kos rendah.
“Sehubungan itu, KPDN mengajak dan menggalakkan lebih ramai lagi pemain industri sama ada pasar raya, pemborong dan peruncit supaya dapat bersama-sama menjayakan aspirasi ini dalam mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Anwar turut menyempurnakan pelepasan 16 lori Jualan Rahmah Bergerak Peringkat Kebangsaan #KedaiCariRakyat.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, program Jualan Rahmah mula diperkenalkan bermula Januari 2023, dengan sejumlah 1,133 lokasi telah terlibat di seluruh negara sehingga hari ini.
Katanya, terdapat tiga model Jualan Rahmah iaitu dalam premis, luar premis dan #KedaiCariRakyat iaitu Jualan Rahmah Bergerak.
“KPDN merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di atas komitmen yang mampan sepanjang menjayakan Program Jualan Rahmah terutama Jualan Rahmah Bergerak #KedaiCariRakyat ini.
“Ia bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup warga Malaysia Madani di samping meningkatkan pendapatan para peniaga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE