SEBERANG PERAI – Sebanyak 130 notis saman dan teknikal dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang atas pelbagai kesalahan sempena penguatkuasaan ops khas berkaitan pencegahan lumba haram atau rempit, malam tadi.
Menurut JPJ negeri, operasi yang berlangsung lebih empat jam bermula 8.30 malam itu dijalankan berhampiran Plaza Tol Lebuh Raya Lingkaran Luar – Butterworth (LLB) di sini.
Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan dalam operasi tersebut adalah tidak memiliki lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insuran.
Turut dikesan adalah kesalahan tidak mempamerkan nombor pendaftaran, nombor pendaftaran yang ‘fancy’ dan ekstrem, tiada cermin sisi serta melakukan pengubahsuaian motosikal tanpa kebenaran.
“Operasi ini secara umumnya bertujuan mencegah aktiviti lumba haram pada waktu awal pagi selain memastikan penunggang dan pembonceng motosikal mematuhi peraturan serta undang-undang yang dikuatkuasakan.
“Pada masa yang sama, mereka juga perlu memastikan agar motosikal yang digunakan tiada sebarang pengubahsuaian untuk tujuan lumba haram, uji kelajuan atau rempit,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, tindakan tegas akan dikenakan termasuk menyita motosikal yang didapati diubahsuai untuk tujuan berkenaan. – KOSMO! ONLINE.