fbpx

Jawi dalam proses ambil keterangan individu terlibat himpunan LGBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang dimuat naik oleh @humble_chef15 di akaun TikToknya.

PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang dalam proses mendapatkan keterangan beberapa individu dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) berhadapan pusat beli-belah di ibu negara, semalam.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, keterangan tersebut bertujuan untuk menyiasat dan mengambil tindakan selanjutnya bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ujarnya, sebarang kesalahan yang berhubungan dengan Akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, jika sabit kesalahan.

“Jabatan ini ingin mengingatkan umat Islam khususnya di wilayah-wilayah persekutuan agar menjauhkan diri daripada terpengaruh dengan ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam.

“Umat Islam juga diseru agar mendapatkan ilmu tentang ajaran Islam melalui sumber yang sahih dan berautoriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, kira-kira tujuh individu dilihat berkumpul di hadapan sebuah pusat beli-belah dengan membawa sepanduk berkaitan LGBT dan ajaran Ahmadi, semalam.

Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok, @humble_chef15, difahamkan perhimpunan tersebut diadakan semalam, sambil dikawal ketat oleh pihak polis yang dilihat berada di kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, timbul rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai apabila mempersoalkan perhimpunan sebegitu yang dibenar untuk diadakan secara terang-terangan.

Individu-individu tersebut yang juga semuanya lelaki itu dilihat memegang sepanduk bertulis ‘Gay bukan satu jenayah. Jadi gay bukanlah jenayah’ dan ‘Tiada siapa yang boleh adili manusia kecuali Tuhan’, sambil melaungkan sesuatu.

Ada juga sepanduk dipegang bertulis ‘Ahmadi agama keamanan dan cahaya mengutuk diskriminasi dan kezaliman terhadap orang-orang LGBT di Malaysia’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI