fbpx

Hafidz, Shuhada, musnah sudah kasih sayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GELORA rumah tangga pelakon Hafidz Rosdhi dan Shuhada berakhir dengan perceraian pada 27 Julai (Khamis lalu).

AGAK lama kisah rumah tangga pelakon Hafidz Roshdi dengan bekas isteri, Nurul Shuhada menjadi paparan khalayak.

Daripada kisah selingkuh si lelaki dengan orang ketiga, keganasan rumah tangga sampai wajah si isteri lebam berjahit, kesahihan kesihatan mental Hafidz, turun naik mahkamah yang menjadi sorotan satu Malaysia, akhirnya, ikatan suci suami isteri itu terlerai beberapa hari lalu.

Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan lafaz cerai talak satu yang dibuat Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi terhadap Shuhada secara lisan pada 22 Februari lalu sah dan mengikut hukum syarak.

Maka dengan itu, runtuhlah ‘masjid’ yang terbina selama tujuh tahun. Sepanjang perkongsian hidup sebagai suami dan isteri, mereka dikurniakan dua cahaya mata yang kini masih bertatih mengenal erti sebenar dunia, Humairah, 6, dan Umar, 2.

Sebagai orang luar, media tidak berniat menyebelahi sesiapa baik Hafidz mahupun Shuhada. Namun sudah menjadi fitrah manusia, mereka tidak akan pernah mampu lari daripada melakukan khilaf.

TIDAK seperti bekas suami yang mahu berkawan baik dengannya, Shuhada pula hanya menganggap Hafidz tidak lebih daripada bapa kepada Humairah dan Umar, dua nyawa yang pernah lahir daripada cinta suci mereka.

Bulat hati, reda Shuhada

Apa yang pasti, mereka mencuba yang terbaik untuk mengharmonikan perkahwinan. Namun kata orang, kalau benar, jodoh itu sudah di situ sahaja, lebih baik dilepaskan – itulah jalan terbaik.

Tertarik dengan kenyataan bersifat kontra kedua-dua pihak. Hafidz ingin terus berkawan dan menjalin hubungan baik dengan Shuhada, namun wanita itu mempunyai pendirian tersendiri.
Shuhada yang mesra dibahasakan, 29, benar-benar bulat hati mahu ‘angkat kaki’ daripada perhubungan atau perkahwinan toksik dengan Hafidz apabila memaklumkan, tidak mahu langsung ‘berjabat’ atau berkawan dengan pelakon Melastik Ke Hatimu itu.

“Kalau kawan baik, mungkin tidak. Dia cuma bapa kepada anak-anak.

“Kami boleh berhubung untuk anak-anak. Selain dari itu, nanti ada orang marah,” kata Shuhada atau nama sebenarnya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Dalam linangan air mata, Shuhada kini yang berstatus ibu tunggal kepada dua anaknya memaklumkan, derita atau kesengsaraan yang dirasai selama ini akhirnya bertemu jalan sembuh.

Bagaikan satu beban berat yang selama ini menghempap dirinya diangkat Ilahi untuk kehidupan yang lebih bahagia.

“Alhamdulillah, saya rasa seperti Allah sudah mengangkat satu beban dari hati saya.

“Saya akan lebih bersemangat bergelar ibu tunggal kerana tidak lagi bergantung kepada orang lain. Hanya diri sendiri dan Allah,” kata Shuhada.

MASIH tiada perancangan untuk menikahi wanita yang dikatakan orang ketiga dalam hubungan bersama Shuhada, Hafidz juga berharap dapat menjalin hubungan baik dengan bekas isteri selepas ini.

Bebas, tanggungjawab untuk anak

Hafidz pula kini bebas untuk mencipta bahagianya sendiri dengan mana-mana wanita idamannya. Termasuklah dengan orang ketiga terkait perkahwinan mereka yang kini tinggal kenangan.

Namun dari bibir lelaki itu lain pula ceritanya selepas apa dijajakan sebelum prosiding. Kalau dahulu dia sepertinya ingin mendedahkan status atau masa depan dengan wanita terbabit, baru-baru ini di Shah Alam, lain pula ceritanya.

Tegas Hafidz, dia tiada perancangan untuk berkahwin dengan orang ketiga yang dikaitkan dengan rumah tangganya, Athirah Yuhada dalam masa terdekat.

“Selepas ini saya tiada apa-apa persediaan dan persiapan ke arah itu (perkahwinan).

“Saya tidak cakap untuk umumkan sesuatu pun. Kami hanya berkawan,” katanya.

Sebenarnya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga Hafidz dan Shuhada bertemu dan mendakap bahagia masing-masing tanpa mengabaikan ‘utusan’ Ilahi iaitu kedua-dua anak mereka.

Semoga apa yang dipertonjolkan buat tatapan umum menjadi pengajaran buat semua yang memerhati terutama pasangan suami isteri yang dikurniakan rezeki bercahaya mata. Wallahuaklam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI