fbpx

Colobraro pekan bernasib malang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
COLOBRARO mempunyai panorama yang indah.

COLOBRARO merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di wilayah Basilicata, selatan Itali.

Pekan tersebut berada di atas sebuah bukit yang dikelilingi Sungai Sinni.

Meskipun nampak indah dan tenang dengan keindahan alam semula jadi, namun pekan itu lebih dikenali dengan sumpahannya yang tersendiri.

Nama Colobraro berasal dari perkataan Latin iaitu ‘coluber’ yang bermaksud ular yang melambangkan kejahatan.

Penduduk tempatan tidak akan menyebut nama tersebut, sebaliknya mereka memanggil pekan itu sebagai chillu paese atau cudd puaise yang bermaksud ‘kampung itu’.

Menurut salah seorang pengkaji sejarah dikenali sebagai Garham, penduduk tempatan amat takut untuk menyebut nama pekan tersebut kerana bimbang akan terkena sumpahan.

Katanya, ia dikaitkan dengan pelbagai insiden buruk yang berlaku di pekan itu.

“Kemalangan kerap berlaku, begitu juga bencana tanah runtuh. Bahkan, ada bayi yang lahir dengan dua jantung dan tiga paru-paru.

“Begitulah kuatnya kepercayaan masyarakat di sini sehingga mereka sangat takut untuk menyebut nama Colobraro itu sendiri,” katanya.

Salah satu bangunan lama yang terdapat
di Colobraro, Itali.

Selain pelbagai tragedi buruk yang dikaitkan dengan nasib malang, pekan itu juga terkenal melalui kisah-kisah pelik, sekali gus meningkatkan kepercayaan penduduk terhadap sumpahan tersebut.

Menurut Garham, sekitar 1940-an, seorang lelaki dari pekan itu, Biagio Virgilio yang merupakan peguam ketika perbicaraan dengan sombong berkata, jika dia tidak memenangi kes tersebut, maka lampu candelier di mahkamah akan jatuh.

Tidak lama kemudian, candelier di mahkamah itu benar-benar jatuh berderai.

Dari situ bermulalah pelbagai perkara menakutkan dan kemalangan aneh yang dikaitkan dengan nasib malang kepada pekan tersebut.

“Ini juga termasuk kisah ahli sihir digelar ‘La Cattre’ yang dikatakan tinggal di sini dan dikaitkan dengan sumpahan itu.

“Bukan hanya penduduk tempatan, pengunjung luar yang datang ke situ juga ditimpa musibah seperti kemalangan, sekali gus menguatkan lagi kepercayaan itu,” ujarnya.

Menguatkan lagi dakwaan penduduk, masyarakat berjiran dengan Colobraro juga menganggap penduduk pekan itu adalah komuniti yang dikutuk dan membawa nasib malang.

Bukan itu saja, jika melakukan kesalahan jalan raya seperti memandu melebihi had laju di pekan tersebut, polis tidak akan mengeluarkan saman kerana takut hidup mereka pula ditimpa nasib malang.

Pun begitu, pekan itu tetap dikunjungi orang luar terutama pelancong yang mahu melihat keindahan dan merasai ketenangan.

Kebanyakan pelancong luar juga tahu dan tertarik dengan kisah aneh pekan tersebut.

Justeru, tidak hairanlah jika Colobraro digelar sebagai salah satu pekan paling terkutuk di Eropah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI