LENGGONG – Satu pertemuan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dengan Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) akan diadakan dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pertemuan itu bagi membolehkan pihaknya mengetahui isu sebenar berkaitan pembatalan pendaftaran pertubuhan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Sehubungan itu katanya, beliau telah meminta pemangku Ketua Setiausaha Motac untuk berjumpa dengan pihak berkenaan.
“Saya tidak tahu apa sebenarnya masalah yang dihadapi pertubuhan itu, jadi saya tidak boleh komen selagi tidak tahu puncanya dan akan minta pemangku Ketua Setiausaha dapatkan penjelasan berhubung pembatalan itu,” katanya, di Dataran Lenggong, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, MTC juga perlu memberi penjelasan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekiranya mahu membuat rayuan pembatalan tersebut.
Media baru-baru ini melaporkan, pendaftaran MTC dibatalkan oleh RoS berkuatkuasa 20 Julai lalu selepas ia didapati melanggar perlembagaan dan isu tadbir urus pertubuhan. – KOSMO! ONLINE