fbpx

2 kilang mercun meletup di Thailand, India, 19 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai melihat rumah yang musnah selepas letupan merobohkan gudang bunga api di daerah Sungai Kolok, wilayah Narathiwat, selatan Thailand semalam. - AFP

BANGKOK – Dua kilang mercun meletup pada hari yang sama di dua negara berbeza, Thailand dan India, mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang selain 118 lagi cedera, lapor akhbar Mirror UK semalam.

Letupan besar di sebuah gudang mercun di selatan Thailand semalam membunuh kira-kira 10 orang, antaranya tiga kanak-kanak serta mencederakan ramai orang.

Jabatan Perhubungan Awam wilayah Narathiwat berkata, sekurang-kurangnya 118 orang dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut manakala lebih 200 isi rumah terjejas.

Video yang dimuat naik di media sosial memaparkan kepulan asap tebal memenuhi kawasan kejadian dengan turut melibatkan pelbagai kerosakan termasuk kereta dan motosikal, selain jalan raya dipenuhi serpihan letupan. Bumbung dan dinding beberapa rumah juga runtuh.

Agensi perhubungan awam tempatan berkata, letupan itu menyebabkan kerosakan dalam radius kira-kira 500 meter, dengan Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana melaporkan, kira-kira 100 rumah penduduk rosak.

Gabenor wilayah tersebut, Sanan Pongaksorn berkata, letupan itu mungkin dicetuskan oleh kerja pembinaan di dalam gudang dengan percikan api daripada kimpalan logam menyebabkan bekalan mercub yang disimpan di dalamnya terbakar dan meletup.

Katanya, kira-kira 500 hingga 800 orang yang tinggal berdekatan mungkin terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Sementara itu, pada hari sama, satu letupan berlaku di sebuah kilang bunga api di Krishnagiri, negeri Tamil Nadu, selatan India, membunuh sembilan orang dan mencederakan ramai mangsa.

Rumah dan kedai berdekatan turut rosak akibat letupan itu, kata pihak berkuasa kepada agensi berita Press Trust of India.

Gambar dan video dari lokasi kejadian memaparkan anggota polis dan bomba berada di tempat kejadian sementara usaha menyelamat sedang dijalankan. Punca letupan bagaimanapun tidak diketahui. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI