fbpx

Tiada lagi sentuhan emas Misbun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MISBUN bersetuju untuk meninggalkan BAM lebih awal berbanding tempoh kontraknya yang hanya akan berakhir hujung tahun ini.

BUKAN satu perkara mudah buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk berpisah dengan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek.

Misbun yang juga legenda badminton tanah air mencapai persetujuan dengan badan induk sukan badminton negara itu bagi menamatkan kontrak yang sepatutnya berakhir penghujung tahun ini lebih awal.

Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam terpaksa membuat keputusan sukar itu ekoran kegagalan skuad remaja negara ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia dua minggu lalu.

“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, kami sudah buat keputusan. Hari ini (semalam), BAM dan Misbun sudah mencapai kata sepakat untuk berpisah selepas bekerja bersama selama enam tahun.

“Misbun adalah ikon Malaysia dan seorang jurulatih yang sangat baik. Beliau berjaya melahirkan pemain-pemain seperti (Datuk) Lee Chong Wei serta Muhammad Hafiz Hashim dan Muhammad Roslin Hashim.

“Beliau sudah melakukan tugas yang baik dan kita tidak boleh cakap cara latihannya tidak bagus. Misbun sudah memberi sumbangan cukup besar kepada badminton negara,” katanya pada sidang akhbar khas di ABM, Bukit Kiara semalam.

Untuk rekod, Misbun kembali ke pangkuan BAM pada 2017 selaku ketua jurulatih perseorangan sebelum diturunkan pangkat sebagai Pengarah Pembangunan Skuad Remaja dan kemudiannya diarah mengendalikan skuad perseorangan remaja.

Sementara itu, BAM juga mengambil langkah yang menyaksikan pemain-pemain remaja menjalani latihan bersama skuad senior sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Amerika Syarikat (AS) September depan.

“Untuk bergerak ke hadapan, pemain-pemain yang akan beraksi pada kejohanan remaja dunia bakal menjalani latihan bersama skuad senior. Jawatankuasa beri cadangan supaya mereka melakukan persiapan bersama pemain-pemain senior.

“Kita akan bekerja sebagai satu pasukan. Walaupun jurulatih senior ada tugas mereka sendiri, namun mereka akan turut membantu kerana kita buat semua ini demi BAM,” ujar Subramaniam.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, ketiadaan Misbun menyaksikan jawatan itu akan dikosongkan sehingga BAM menemui calon baharu dengan jurulatih sedia ada, Mohd. Hazwan Jamaluddin akan menguruskan skuad perseorangan bawah 18 tahun dibantu Misbun Ramdan Misbun dan Goh Giap Chin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI