KOTA BHARU – Seorang suri rumah kempunan untuk bertanding sebagai calon bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama apabila borang pencalonannya ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini hari ini.
Tan Lay Tho, 63, hadir menyerahkan borang pencalonannya kira-kira pukul 9.33 pagi, namun permohonannya itu ditolak berikutan alamat pencadang yang juga merupakan suaminya di DUN Bunut Payung.
Suri rumah itu turut membawa penyokong iaitu bapa saudaranya, Wee Choon Seng, 85, yang merupakan pengundi DUN Kota Lama.
Pengawai Pengurus DUN Kota Lama, Izzuddin Ab. Rashid berkata, pihaknya menerima lima borang pencalonan bagi DUN Kota Lama pada pukul 11.45 pagi.
“Lima calon itu ialah Izat Bukhary Ismail Bukhary yang merupakan calon bebas, Dr. Hafidzah Mustakim (Pakatan Harapan), Zamri Ismail (Pas), Tan Boon Kian atau Andy Tan (Parti Rakyat Malaysia) dan Tan Lay Tho (bebas).
“Selepas melakukan semakan, SPR mendapati hanya kertas pencalonan milik Lay Tho ditolak. Penolakan itu menyaksikan hanya empat calon sahaja yang disahkan bertanding di DUN Kota Lama,” katanya. – KOSMO! ONLINE