fbpx

PRN: ‘Sudah tentu mereka panas’ – Pesuruhjaya Pas P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Fauzi (tengah) bersama Azmi (kiri) dan Mohd. Sobri (kanan) ketika Hari Penamaan Calon di Institut Kemahiran Mara IKM Tasek Gelugor, hari ini.

SEBERANG PERAI – Pas Pulau Pinang mengakui terdapat pihak yang ‘panas’ atau tidak berpuas hati berikutan kerusi kontroversi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas diwakili Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15.

Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusof berkata, walaupun timbul unsur sabotaj dalam jentera parti namun perkara itu sedang diuruskan oleh pihak kepimpinan supaya kembali reda dan dapat berjalan dengan baik sepanjang tempoh PRN ini.

“Sudah tentu mereka ‘panas’, ada berlaku kekhilafan dan sebagainya, maka perkara ini (sabotaj) memang berlaku dalam mana-mana proses sepanjang PRN yang saya ikuti.

“Malah, ini (pemilihan Dominic sebagai calon) sudah diputuskan oleh Majlis Kepimpinan PN Pusat walaupun kita sudah usaha minta calon dari Pas (mewakili kerusi Bayan Lepas).

“Ia (pemilihan Dominic) juga berdasarkan atas kapasitinya sebagai Presiden Gerakan dengan meminta supaya bertanding juga satu (kerusi)..mungkin atas sebab itulah (nama) dia dipertimbangkan untuk bertanding (di DUN Bayan Lepas),” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Institut Kemahiran Mara (IKM) Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Beliau yang juga calon DUN Sungai Dua itu berkata, buat masa ini pihaknya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan sebaliknya menegaskan telah meletakkan asas kepada mana-mana parti yang bertanding maka parti itulah yang akan mengetuai jentera parti di situ.

Sebelum ini, pencalonan Dominic untuk bertanding dalam PRN-15 di DUN yang mempunyai 64 peratus penyokong Melayu itu mendapat bantahan keras penyokong Pas Bayan Lepas sekali gus mahu memboikot hari penamaan calon dan menutup menutup Bilik Operasi Pas di seluruh kawasan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI