JERLUN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas.
Penyandang kerusi DUN Siputeh, Dr. Salmee Said (PH-Amanah) kekal bertanding mempertahankan kerusi tersebut dan dicabar oleh bekas jurugambar sebuah portal berita, Mohd. Asyraf Mustaqim Abdul Munir (PN-Bersatu) dan Abdul Ramli (Bebas).
Pengumuman itu dilakukan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di padang Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, di sini hari ini.
Sementara itu, bagi DUN Ayer Hitam pula, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PN.
Penyandang kerusi DUN Ayer Hitam, Azhar Ibrahim (PN-Pas) kekal mempertahankan kerusi tersebut dan dicabar Hayazi Ibrahim (BN-UMNO) pada PRN kali ini.
Pemilihan di DUN itu menarik apabila menyaksikan pertembungan antara Azhar yang pernah menjadi guru dan mengajar anak muridnya, Hayazi di sebuah sekolah rendah di kawasan itu suatu ketika dahulu. – KOSMO! ONLINE