SEBERANG PERAI – Lebih 1,000 penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berarak menuju ke pusat penamaan calon bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bertam, Penaga dan Pinang Tunggal di Dewan Millenium, di sini.
Kira-kira pukul 8.50 pagi tadi, kumpulan penyokong itu dipimpin oleh ketiga-tiga calon yang bertanding untuk kerusi-kerusi tersebut iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Mohd. Naim Salleh dari UMNO-BN dan Zainuddin Mohamed (PKR-PH).
Reezal yang juga bekas Ahli Parlimen Kepala Batas dan Mohd. Naim, masing-masing akan bertanding di kerusi DUN Bertam dan Penaga manakala Zainuddin pula akan bertanding di kerusi DUN Pinang Tunggal yang sebelum ini disandang oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, juga dari PKR.
Terdahulu, lebih 500 penyokong Perikatan Nasional (PN) tiba ke lokasi iaitu kira-kira pukul 8.30 pagi untuk mengiringi calon-calon yang bertanding di ketiga-tiga kerusi berkenaan.
Mohd. Yusni Mat Piah (Pas) dan Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bersatu) akan turun selaku penyandang bagi mempertahankan DUN masing-masing iaitu Penaga dan Bertam manakala Yang Dipertua Pas Kawasan Kepala Batas, Bukhori Ghazali pula akan bertanding di DUN Pinang Tunggal. – KOSMO! ONLINE