fbpx

PRN: Keahlian Mohamad Rafie dalam PKR gugur, bertanding Bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINUDDIN (baju melayu merah) yang diiringi oleh Timbalan Presiden PKR, rafizi Ramili (kiri) tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Komuniti Coral Heights. Foto NOR SHAFAWATI YUP.

SEREMBAN – Keahlian penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek dalam PKR tergugur secara automatik selepas beliau bertanding di kerusi sama atas tiket calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ahli-ahli parti yang menyokong tindakan bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban itu juga turut akan dikenakan tindakan oleh parti.

“Apabila dia hantar sahaja permohonan (bertanding Bebas) hari ini, memang (automatik) keahliannya akan tergugur dan mereka yang terlibat juga akan diambil tindakan,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon DUN Sikamat di Dewan Komuniti Coral Heights, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamad Rafie membuat kejutan apabila tampil sebagai calon Bebas pada penamaan calon DUN Ampangan di sini hari ini selepas namanya tidak dicalonkan semula PKR bagi mewakili Pakatan Harapan (PH).

Bagaimapun Aminuddin berkata, parti optimis bahawa keputusan mengejut Mohamad Rafie itu tidak menjejaskan potensi kemenangan PH di Negeri Sembilan.

“Itu perkara biasa dalam semua parti kerana kalau kita belajar sejarah, sejak pilihan raya awal lagi Tun Hussein Onn keluar parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dipecat.

“Pelbagai tribunal dalam politik ini sentiasa berlaku dan berubah. Kita serahkan kepada rakyat, khususnya di DUN Ampangan, untuk menentukan siapa yang layak dipilih. Mungkin mereka pilih parti, tidak pilih individu. Tetapi, kalau nak pilih individu, itu terpulang,” katanya.

Jelas Aminuddin yang merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan, beliau yakin semua jentera akan membantu calon PH di Ampangan, iaitu Tengku Zamrah Tengku Sulaiman bagi memastikan kemenangan parti di kawasan itu.

DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Mohamad Rafie akan disaingi oleh calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Ketua Wanita PKR Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan calon Perikatan Nasional, Ketua Bersatu Cawangan Gedong Lalang, Muhammad Ghazali Zainal Abidin (PN).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI