GEORGE TOWN – Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dominic Lau bakal berdepan saingan dua penjuru bagi merebut kerusi kontroversi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15.
Beliau yang merupakan Presiden Parti Gerakan Pulau Pinang akan berdepan dengan saingan calon penyandang kerusi berkenaan, Azrul Mahathir Aziz dari Pakatan Harapan (PH-Amanah).
Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya N38, Mohd Hafiz Aswad Nadzri mengumumkan nama calon bertanding berkenaan di Pusat Penamaan Calon Dewan Bukit Belah, Bayan Lepas kita-kira pukul 10.18 pagi tadi.
Dominic berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan mandat dan sokongan daripada pengundi di kawasan berkenaan termasuk di enam negeri yang terlibat.
“Saya harap, kita akan bertanding secara profesional.
“Ini bukan satu peperangan, ini satu perlembangaan yang telah ditetapkan setiap lima tahun sekali untuk pemilihan wakil rakyat dalam tempoh lima tahun,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengumuman calon bagi DUN Bayan Lepas, pagi tadi.
Mengulas mengenai cabaran untuk menarik sokongan penyokong Melayu di Bayan Lepas, beliau memberitahu, pihaknya akan berusaha menarik sokongan masyarakat pelbagai kaum dan agama di kawasan berkenaan.
“Isu yang berlaku (Gerakan dan Pas Bayan Lepas) disebakan masalah komunikasi. Isu ini akan selesai,” jelasnya.
Sebelum ini, pencalonan Dominic untuk bertanding dalam PRN-15 di DUN yang mempunyai 64 peratus penyokong Melayu itu mendapat bantahan keras penyokong Pas Bayan Lepas sekali gus mahu memboikot hari penamaan calon dan menutup menutup Bilik Operasi Pas di seluruh kawasan itu.
Terdapat tiga DUN di bawah Parlimen Balik Pulau iaitu Bayan Lepas, Pulau Betong dan Teluk Bahang. – KOSMO! ONLINE