AMPANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua parti dan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri untuk menjalankan kempen secara tertib.
“Insya-Allah (semua parti diharap) untuk adakan kempen dengan, tersusun, sopan dan beradab,” katanya ketika ditemui pemberita di Restoran Hameediyah Bistro selepas selesai minum pagi, sebentar tadi.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memberitahu bahawa beliau berpuas hati dengan proses penamaan calon yang berlangsung hari ini.
“Alhamdulillah, saya tengok proses penamaan calon aman dan teratur serta calon-calon mengemukakan (pendaftaran) dengan baik,” jelasnya.
Sebelum itu, Anwar meluangkan masa melawat tiga pusat penamaan calon di kawasan Parlimen Gombak, Selayang dan Ampang bermula pukul 8.30 pagi tadi.
Pada masa sama, Anwar turut mengucapkan terima kasih di atas kehadiran Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor serta Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd. Kadir bagi memberikan sokongan.
PRN ke-15 membabitkan enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang diadakan secara serentak dengan 173 pusat penamaan calon dibuka hari ini. – KOSMO! ONLINE