KUALA NERUS – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman bakal ditentang Khazan Che Mat dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.
Khazan merupakan bekas pemimpin UMNO yang pernah menjawat Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu dari tahun 2008 hingga 2013.
Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kuala Nerus akan menggunakan simbol Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu ke-15, 12 Ogos depan.
Pencalonan mereka diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Siti Mariam Hamid di pusat penamaan calon, Dewan Sivik Seberang Takir di sini pada pukul 10 pagi.
Terdahulu, perarakan Ahmad Razif yang juga penyandang DUN Seberang Takir ke pusat penamaan calon diiringi dengan laungan ‘gelombang biru’ oleh lebih 1,000 penyokongnya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad Razif telah memenangi kerusi DUN Seberang Takir dengan menewaskan calon Pas, Mohd. Fazil Wahab dan Abu Bakar Abdullah daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 1,884 undi.
Beliau menyandang kerusi DUN berkenaan yang terletak di dalam Parlimen Kuala Nerus sejak tiga penggal lalu iaitu pada tahun 2008. – KOSMO! ONLINE