KLANG – Pertukaran pakaian menyebabkan seorang calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Kelang tertinggal kad pengenalannya pada hari penamaan calon hari ini.
Bagaimanapun, Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari mewakili Perikatan Nasional (PN) sempat memperoleh kad pengenalannya selepas dikatakan dibawa ahli keluarganya.
Abdul Rashid ketika ditemui selepas penamaan calon memberitahu, beliau sepatutnya ingin memakai pakaian korporat sebelum menukar pada busana baju Melayu.
“Tiada hal, tertinggal dalam baju lain iaitu baju korporat,” katanya di sini hari ini.
Dun Selat menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan Abdul Rashid sebagai penyandang akan ditentang Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor dan Ketua UMNO Bahagian Kapar, Datuk Roslee Abdul Hamid yang mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Abdul Rashid menaruh keyakinan dapat mempertahankan kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Insya-Allah, setakat ini trend penyokong memihak kepada kita dengan saya telah melakukan semua kerja (dalam DUN) sepanjang lima tahun ini,” jelasnya.
Sementara itu, Roslee menjelaskan, pihaknya mempunyai cara kempen dan strategi tersendiri dalam menarik pengundi menyokongnya.
“Kita sudah buat persediaan awal dan tidak kisah dua penjuru atau tiga penjuru. Lagipun saya anak tempatan di situ,” katanya. -KOSMO!ONLINE