GELOMBANG Barbie semakin bertebaran di Malaysia sehingga ramai yang ‘demam’ dan menghias kereta dengan pelekat serta barangan Barbie sejak filem tersebut ditayangkan bermula 20 Julai lalu.
Pada pandangan penulis, masyarakat khususnya wanita pasti terpesona dengan keghairahan untuk melakukan trend menghias kereta dengan pelekat Barbie sejak ia tular di media sosial.
Tidak mampu dinafikan lagi, ia sememangnya comel jika dipasang pada kenderaan dan menampakkan ciri-ciri feminin pemilik kereta selain melambangkan peminat fanatik filem berkenaan.
Sehubungan itu, penjualan pelekat Barbie di pasaran juga mencanak naik dan pasti mendapat keuntungan yang banyak kerana sehingga ke hari ini, ramai yang masih memuat naik video memasang pelekat tersebut dan masih ‘trending’ terutamanya di platform TikTok.
Bagaimanapun, penulis dari sisi lain berpendapat perkara yang tampak feminin dan comel itu sedikit sebanyak mencipta ruang serta peluang orang jahat yang berada di luar sana untuk mengganggu kaum hawa.
Melihat sendiri perkongsian, perspektif serta pengalaman wanita di media sosial, rata-rata mempunyai pengalaman buruk seperti diganggu lelaki hanya kerana meletakkan ‘plushies’, menggunakan barangan berwarna merah jambu dan sebagainya.
Pelbagai persoalan berlegar di fikiran setelah membaca pengalaman buruk yang dialami wanita di luar sana.
Adakah fenomena pelekat Barbie yang sedang tular sekarang bakal meningkatkan lagi trauma golongan wanita?
Mengulas lanjut mengenai trend berkenaan, Penganalisis Jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berpandangan fenomena pelekat Barbie itu bakal membahayakan pemandu wanita terutamanya jika berada di atas jalan raya.
“Isu ini kurang dibangkitkan, namun saya lihat ia mampu mengundang bahaya kepada pemandu wanita. Dengan adanya pelekat, hiasan pada kereta sedemikian, ia boleh menyebabkan akan orang luar ingin mengusik dan sebagainya.
“Kalau boleh kereta jangan hias dan nampak terlalu lembut, ia seolah-olah membuka ruang, malah mengundang pembuli jalan raya untuk sasar mangsa seterusnya.” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Justeru, Sahul berkata, ruang dan peluang terbuka akan membawa kepada jenayah yang lebih teruk seperti gangguan seksual, pecah kereta, ragut, culik dan diintip.
“Pada pendapat saya, tidak perlu berlebihan untuk menghias kereta, ataupun tidak perlu hias langsung kerana ia sesuatu yang berpotensi menarik perhatian orang terutamanya pembuli jalan raya dan kaki seksual.
“Apabila diganggu, pasti individu yang menjadi mangsa tidak akan rasa selamat dan tenteram. Segala akibat itu akan menyusahkan dan mengganggu ketenteraman diri.
“Sememangnya, hias kereta itu adalah hak pemilik kenderaan. Ini adalah nasihat saya sahaja supaya tidak berlebihan kerana malang itu tidak berbau,” katanya.