HOUSTON – Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag terpaksa mengakui bahawa mereka terdesak untuk mendapatkan penyerang baharu selepas kekalahan 0-2 menentang Real Madrid pada aksi persahabatan pramusim di Stadium NRG kelmarin.
United ketika ini masih dalam proses rundingan untuk mendapatkan khidmat penyerang muda Atalanta, Rasmus Hojlund apabila mengemukakan tawaran permulaan bernilai £42 juta (RM246.32 juta) dengan tambahan sebanyak £8.5 juta (RM49.85 juta).
Pada aksi menentang Real, United terpaksa akur dengan kekalahan tersebut biarpun mereka mendapat banyak peluang terbaik menyebabkan Ten Hag mengakui bahawa mereka perlu mendapatkan penggempur prolifik bagi menghadapi musim baharu.
“Sudah tentu (mendapatkan penyerang). Saya fikir kami memerlukan pemain yang mampu berdepan satu lawan satu. Kami mendapat peluang itu menerusi Marcus Rashford, Scott McTominay dan Alejandro Garnacho. Kami sepatutnya menjaringkan gol.
“Kami mencipta beberapa peluang terbaik, tetapi kami sepatutnya menjadi lebih klinikal untuk menjaringkan gol apabila berdepan situasi berkenaan. Kami mempunyai tiga atau empat peluang satu lawan satu pada perlawanan itu.
“Rundingan mendapatkan pemain sentiasa sukar, tetapi kami bekerja keras dan menggunakan segala kemampuan yang kami ada untuk menjadikannya realiti,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai Hojlund, Ten Hag mengakui tidak begitu berminat untuk berbincang mengenai pemain yang masih memiliki kontrak bersama pasukan lain.
“Kami ada sasaran sendiri, kami sedang sibuk untuk menguruskan dan mengenalpasti pemain yang betul untuk ditandatangani,” jelasnya. – AGENSI