fbpx

Liga Super: Cheng Hoe rombak strategi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAISAL tidak dapat turun membantu Selangor berdepan JDT malam ini selepas berdepan penggantungan selama sebulan.

PASUKAN Selangor FC mahu kekal tenang menjelang aksi getir Liga Super menentang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas kehilangan tonggak berpengaruh, Faisal Halim yang digantung selama sebulan.

Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui tugas sukar buat anak-anak buahnya dalam usaha mencipta kejutan terutama selepas pasukan lawan merekodkan 17 kemenangan berturut-turut musim ini.

“Saya harap pasukan dapat perbaiki kelemahan khususnya daripada aspek penyudah kerana ketika bertemu JDT sebelum, kita dapat mencipta banyak peluang tetapi gagal disudahkan dengan baik.

“Kemudian, ketika mereka melakukan serangan balas pantas, pemain hilang fokus dan berjaya mencipta jaringan tetapi itulah kualiti yang ada pada JDT.

“Malah, kita juga pasti merindui kelibat Faisal kerana dia adalah seorang pemain berpengaruh dalam pasukan dan saya akan rombak strategi bagi memastikan pemain pengganti dapat mengisi tugas itu sebaiknya,” kata Cheng Hoe.

Mengulas lanjut, bekas pengendali Harimau Malaya itu turut berharap fokus pasukan adalah untuk mengutip sebanyak mata yang boleh bagi mengekalkan kedudukan No. 2 liga musim ini.

“Kita berjaya rampas tempat kedua dan motivasi pemain cukup tinggi untuk mengekalkan kedudukan ini. Tumpuan selepas ini adalah bagi mendapat mata demi mata pada setiap aksi yang diharungi,” katanya.

Sebagai rekod, skuad Gergasi Merah membawa cabaran tersendiri pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu selepas tewas dua aksi kepada Harimau Selatan tahun ini.

Skuad Merah Kuning tewas 0-4 pada saingan liga di Stadium MB Petaling Jaya pada awal musim sebelum JDT terus mempamerkan belang dengan merekodkan kemenangan 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi separuh akhir Piala FA bulan lepas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI