KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain membuat pemantauan kelangsungan proses penamaan calon di seluruh negara menggunakan unit dron sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).
Menurut beliau, pemantauan yang dilaksanakan bertujuan mengesan sekiranya berlaku provokasi dari mana-mana pihak lebih awal.
“Saya sendiri berada di pusat gerakan di Bukit Aman bagi memantau perjalanan proses penamaan calon pagi ini.
“Pantauan daripada enam dron dan pasukan Op Cantas mempunyai link dengan pusat gerakan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
Terdahulu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Cantas bagi mengesan kesalahan-kesalahan sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Antaranya, kesalahan khianat kain rentang, bendera parti selain memantau sebarang provokasi dan komen-komen berunsur hasutan di media sosial.
Op Cantas yang bermula sejak Mei lalu bagi memastikan kelancaran semasa proses berkempen dan pengundian dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
Operasi tersebut dijalankan secara risikan, pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba melakukan kekacauan sepanjang proses PRN.-KOSMO! ONLINE